Bincangkan ciri-ciri dan susun lapis masyarakat feudal di England pada abad ke-16 hingga abad ke-17.
Latar Belakang.
1. Feudalisme merupakan satu bentuk kerajaan yang terbentuk daripada 5 ciri iaitu hubungan timbal balik, ketenteraan, harta feudal, pemerintahan dan perundangan serta struktur sosial.
2. Feudalisme membahagikan masyarakat kepada 2 golongan iaitu golongan pemerintah dan golongan diperintah. Golongan pemerintah di England terdiri daripada Raja, Baron atau Bangsawan dan Knight atau Hulubalang Perang. Golongan diperintah pula terdiri daripada Serf atau Petani atau Rakyat Biasa.
3. Masyarakat feudal di England mempunyai ciri-ciri tersendiri dan hubungan antara golongan pemerintah dan golongan diperintah ditetapkan berdasarkan keturunan dan saling memerlukan antara satu sama lain.
Ciri-ciri Feudalisme di England.
a. Hubungan timbal balas atau hubungan dua hala.
i) Hubungan timbal balas (vassalage) yang dibuat melalui persetiaan seseorang hulubalang sebagai pengikut (vassal) kepada seseorang hulubalang lain yang diangkat sebagai tuan (lord) kepada vassal tersebut. Melalui hubungan ini, seseorang vassal dan lord akan diikat dengan fungsi dan tanggungjawab tertentu.
ii) Golongan vassal akan memberikan ketaatan dan perkhidmatan terutamanya dalam bidang ketenteraan kepada lordnya. Sebagai timbal balik, golongan lord pula akan memberikan penjagaan dan perlindungan kepada vassalnya.
b. Harta Feudal yang kebiasaanya berupa tanah.
i) Ciri yang kedua iaitu harta feudal (fief), kebiasaanya berupa tanah yang menjadi punca kekayaan kepada tuan tanah iaitu Raja dan golongan bangsawan. Tanah dikurniakan oleh Raja kepada seseorang lord kemudian lord pula akan memberikan tanah kepada vassalnya bertujuan untuk mengikat kesetiaan.
ii) Oleh kerana tujuan utama pemberian fief adalah untuk mendapatkan khidmat ketenteraan, maka fief juga dikenali sebagai military fief. Fief tidak semestinya berupa tanah sahaja, sebaliknya pangkat, jawatan, kedudukan dan sebagainya boleh juga diberikan sebagai bentuk fief.
iii) Pemberian fief berupa tanah dapat menarik minat golongan hulubalang yang berkuasa. Golongan serf tidak memiliki tanah, tetapi dibenarkan untuk bercucuk tanam dan menternak binatang di atas tanah yang dibenarkan oleh tuan tanah.
c. Ketenteraan.
i) Ciri feudalisme yang ketiga ialah ketenteraan, iaitu wujudnya kelas-kelas hulubalang dan pelaksanaan khidmat-khidmat ketenteraan persendirian oleh vassal kepada lord sebagai penerimaan fief. Oleh kerana tujuan asas hubungan vassalage-fief adalah mewujudkan satu organisasi ketenteraan yang efektif.
ii) Perkhidmatan utama yang diberikan oleh vassal kepada lord ialah perkhidmatan ketenteraan. Perkhidmatan-perkhidmatan lain termasuklah yang melibatkan aspek-aspek ekonomi hanya merupakan perkhidmatan sampingan sahaja.
iii) Oleh kerana sistem feudal dikaitkan dengan aspek ketenteraan, maka di Eropah atau England wujudnya golongan tentera elit seperti knights dan chivalry yang lebih berdisiplin, terlatih dan mempunyai peralatan yang mahal.
d. Kuasa Pemerintah dan Hak-hak Perundangan Persendirian.
i) Ciri feudalisme keempat ialah kuasa pemerintahan dan hak-hak perundangan persendirian yang dimiliki dan dilaksanakan oleh lord terhadap vassalnya serta ke atas rakyat yang berada di atas tanah-tanah kepunyaan lord.
ii) Selain menguasai tanah, seseorang lord juga turut berkuasa ke atas sumber ekonomi, pentadbiran, pelaksanaan undang-undang, mengutip cukai, mengawal institusi ketenteraan dan institusi kewangannya.
Struktur Sosial Masyarakat Feudal di England.
a. Masyarakat di England terbahagi kepada dua golongan iaitu golongan pemerintah dan golongan yang diperintah. Golongan pemerintah terdiri daripada Raja dan bangsawan atau Baron dan Knight. Susunan masyarakat feudalnya berbentuk piramid iaitu Raja atau pemimpin utama terletak di lapisan paling tinggi. Di bawahnya terdapat beberapa lapisan para bangsawan yang menjadi pengikut raja atau vassal yang memberikan kesetiaan kepada Raja. Golongan bangsawan ini terbahagi kepada 2 iaitu lapisan pertama dan kedua.
b. Golongan bangsawan lapisan pertama yang memiliki tanah (fief) secara langsung daripada Raja dikenali sebagai tenants-in-chief. Bangsawan lapisan pertama pula membahagikan fief mereka kepada bangsawan lapisan kedua. Proses ini dikenali sebagai subinfeudation. Bangsawan lapisan kedua seterusnya membahagikan fief mereka kepada bangsawan yang lebih rendah daripadanya atau golongan petani. Setiap bangsawan (vassal) berkuasa ke atas petani yang menetap dififnya. Hampir kesemua petani terdiri daripada serf yang bertaraf antara orang bebas dengan hamba.
c. Golongan yang dipimpin pula merupakan golongan rakyat biasa yang menetap di wilayah kekuasan golongan bangsawan. Rakyat biasa ini dikenali serf iaitu golongan bukan hamba tetapi tidak bebas sepenuhnya. Mereka terikat kepada pemimpin atau tuan mereka dan tidak bebas bergerak atau berpindah dari satu tempat ke tempat lain. Mereka bergantung kepada golongan bangsawan untuk mendapatkan mata pencarian. Terdapat juga petani bebas yang menyewa tanah daripada golongan bangsawan.
d. Selain itu terdapat golongan paderi yang merupakan satu kelas yang berasingan. Sebilangan besar daripada mereka terdiri daripada golongan bangsawan yang mempunyai tanah sebagai vassal dalam sistem feudal dan hampir 1/3 daripada tanah yang boleh digunakan di Eropah barat di kawal oleh gereja. Bishop, abot dan pegawai-pegawai yang memegang jawatan penting dalam gereja biasanya adalah golongan bangsawan. Justeru itu mereka sering campur tangan dalam pemilihan jawatan bishop dan jawatan -jawatan lain untuk salah seorang dari ahli keluarga mereka. Akibatnya pegawai-pegawai gereja terdiri daripada golongan yang mementingkan material dan mempunyai dua tanggungjawab.
Kesimpulannya, sistem feudal masih diteruskan di England hingga abad ke-16. Sistem ini telah merosot ekoran daripada pengenalan sistem upah kepada buruh-buruh serta pengenalan sistem raja berperlembagaan.
[26 January 2017]
No comments:
Post a Comment